Wednesday, September 23, 2009

PRK Bagan Pinang - Ada pihak menangguk di air keruh

Tekanan terhadap pimpinan tertinggi Umno memuncak apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Barisan Nasional supaya tidak mencalonkan bekas menteri besar Negeri Sembilan demi menjaga imej.

Seorang lagi veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga membuat kenyataan serupa dengan mengatakan kemenangan harus diperolehi dengan maruah dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Pendirian Mahathir dan ramai lagi pimpinan Umno lain sudah tentu berbeza dengan keadaan sebenar diakar umbi.


Disekitar Port Dickson yang menempatkan kawasan Dun Bagan Pinang, kain-kain rentang dengan gambar Isa dan ucapan Selamat Hari Raya sudah digantung sejak sebelum berakhir Ramadhan.

Mesej daripada penyebaran poster ini amat jelas: Isa mesti dicalonkan di Bagan Pinang supaya beliau kembali ke Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan selepas lima tahun.

PAS memainkan isu pertelagahan berkaitan pemilihan calon BN bagi PRK Bagan Pinang yang akan berlangsung Oktober ini sebagai satu helah, bertujuan meraih sokongan pemilih tempatan pra-pengundian. Ia menjadikan isu ini satu dari senjata yang paling berkesan dan dengan itu dapat meneruskan rentak kemenangan dalam PRK yang diadakan sebelum ini.

Pandangan yang diberikan oleh Mantan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Gua Musang dijadikan faktor kepada kemenangan yang bakal mereka raih.

UMNO mungkin tersepit dalam isu pemilihan calon ini, antara memenuhi permintaan akar umbi atau calon lain dinamakan oleh Kerajaan Pusat bertujuan mengelakkan persepsi buruk yang bakal dibawa oleh Isa yang pernah disabitkan dengan tuduhan 'politik wang'.

Aku berpandangan bahawa PAS menjadikan isu ini sebagai kaedah untuk melumpuhkan UMNO baik apapun yang bakal diputuskan. PAS serta pembangkang mengharapkan isu calon ini akan mengelirukan ahli-ahli UMNO/BN sendiri, apatah lagi pengundi atas pagar.

UMNO/BN mempunyai dua sebab untuk memenangi PRK kali ini.

1.  Mengekalkan penguasaan kerusi DUN Bagan Pinang.

2.  Menghentikan momentum kemenangan pembangkang yang menguasai PRK yang diadakan sebelum ini.

Bagaimanapun, tidak mustahil UMNO/BN terlepas kerusi Bagan Pinang.

a)  Memilih Isa bermakna UMNO/BN tidak serius dalam usaha membasmi perlakuan rasuah...didalam Parti dan didalam Kerajaan.

b)  Memilih calon lain memungkinkan sokongan ahli akar umbi UMNO akan beralih arah.

Apa juga keputusan yang bakal diambil oleh UMNO/BN serangan PAS tidak akan terhenti setakat itu. Mereka punyai senjata tambahan yang bakal membantu memperhebatkan serangan mereka.

Andainya Isa dipilih maka PAS dan pakatannya akan menyerang UMNO/BN dan perkara berkaitan peribadi Isa. UMNO akan dituduh tidak bersungguh-sungguh memerangi rasuah kerana memilih Isa sebagai calon (jika menuruti kehendak akar umbi).

Jika calon lain dipilih UMNO/BN akan dituduh tunduk kepada desakan Tun Dr Mahathir dan menyatakan barisan kepimpinan DS Najib tidak berwibawa serta amat lemah untuk menerajui negara kerana terlalu bergantung kepada peranan dan saranan Perdana Menteri keempat.

Maka kini tumpuan pasti terarah kepada tindakan dan keputusan yang bakal dibuat oleh DS Najib sebagai Pengerusi BN dalam isu penamaan calon bagi pertandingan yang bakal berlangsung pada Oktober nanti.

Dalam apa jua keadaan, PAS dan pasukan pembangkang sudah siap sedia untuk MENANGGUK DI AIR YANG KERUH.... 

No comments: