Friday, September 4, 2009

SELESAIKAN KEMELUT UMNO TERENGGANU

Dibenak aku tersimpan kesangsian. Sejak perlantikan Menteri Besar menjadi kecoh di Terengganu aku sentiasa memikirkan apa sebenarnya yang berlaku disana. Daripada perbuatan menjulang poster penghinaan kepada Sultan kepada sebaran SMS yang berbaur ugutan. Kini tersebar berita isu melompat parti beramai-ramai oleh Wakil-wakil Rakyat UMNO ke pakatan pembangkang.

Sudahlah sejak PRU12 rakyat dihidangkan dengan Pilihanraya Kecil tak sudah-sudah tetapi yang menghairankan kenapa pula terbit ceritera Lompat Parti oleh pemimpin UMNO Terengganu?

Apa yang mereka perjuangkan?

Nama Ahmad Said, Idris Jusoh dan Rosol Wahid sering disebut-sebut dalam pergolakan tersebut. Apa isu yang mereka persoalkan?
Hanya Allah dan mereka saja yang tahu.

Biarpun tersiar berita penafian berkaitan hal itu, rakyat juga ingin tahu dan inginkan kepastian. Tak cukup dengan membaca akhbar, merenung laman web dan mendengar khabar-khabar angin melalui sms dan suara-suara nakal yang tidak tentu kepastiannya.

Aku tak mahu membuat andaian tetapi jika tampuk kuasa yang diperjuangkan maka tentunya ia membawa maksud yang lain dan tidak wajar ianya dijadikan titik perbezaan.

Permasalahan wajib dirungkai oleh mereka yang berkaitan. Tidak wajar ianya diperpanjangkan lagi sehingga kelak akan merugikan rakyat dan menguntungkan pihak pembangkang.

Sebarang rasa tidak puashati harus diluahkan. Tan Sri Muhiyiddin dan Dato Seri Hishamuddin yang mengendalikan krisis ini, dengar dan nilaikanlah, terimalah cetusan rasa hati pemimpin-pemimpin UMNO yang terbabit. Jangan sampai terjadi peralihan kuasa ke tangan pembangkang.

Perak diterajui semula oleh Barisan Nasional jangan pula Terengganu berlaku sebaliknya.

Satu semangat yang aku pinta daripada ADUN-ADUN UMNO Terengganu…hargailah kepercayaan rakyat. Balaslah keyakinan rakyat yang memilih Barisan Nasional untuk berkuasa di Terengganu dengan bekerja. Tunaikan segala janji dan laksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Satu Terengganu, Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Apa yang aku lihat (berdasarkan kepada gembar-gembur politik) nyata sekali bahawa wakil-wakil rakyat yang terpilih mendahulukan kepentingan diri, rakyat yang memilih dikebelakangkan, tiada langsung pencapaian yang ditunjukkan.

Logiknya, siapa sahaja yang dilantik menerajui kerajaan disesuatu negeri haruslah diberi sokongan padu. Biarpun pemimpin itu bukan yang kita gemari tetapi itulah individu yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk barisan kepemimpinan sesuatu kerajaan.

Jika pergolakan tidak pernah selesai dimanakah keutuhan dan kemantapan sesebuah parti politik dapat dipertahan?

Lihatlah apa yang berlaku didalam parti-parti komponen Barisan. Apakah faedah yang diperolehi rakyat sepanjang pergolakan berlangsung.

Apa yang berlaku ini tidak lepas dari pemantauan pihak pembangkang. Mereka menunggu masa untuk menyaksikan perpaduan dalam UMNO runtuh dan ketika itulah kesempatan terhidang untuk mereka berkuasa. Jangan berikan mereka ruang menyuntik racun kedalam pemikiran rakyat.


Mereka tertunggu-tunggu peluang untuk mentertawakan Barisan Nasional ekoran dendam yang tercetus di Perak. Ketika ini semangat penyokong mereka sedang dibakar dan kemelut yang berlaku didoakan agar berakhir dengan perpecahan dikalangan ahli-ahli UMNO.

Fikir-fikirkanlah wahai pejuang UMNO Terengganu. Bersatu dan bekerjalah untuk rakyat sebagaimana yang diamanahkan.

No comments: